BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, November 8, 2009

Pengemis dan Maharaja


Seorang maharaja bersiar-siar dari istananya pada suatu pagi,
apabila ia ketemu seorang pengemis. Bertanya, "Apa kau mahu?"


Tertawa pengemis itu tertawa.
"Kau bertanyakan aku, sepertinya hasratku mampu kau penuhi!"


Maharaja itu tercalar egonya. Bersuara keras, menjawab ia.
"Tentu aku mampu penuhi apa saja mahumu.
Apa kau mahu? Majukan padaku."


Sang pengemis tertawa lagi.
"Berfikirlah masak-masak sebelum kau menjanjikan apa-apa bagiku."


"Akan kupenuhi apa jua permintaanmu.
Aku maharaja yang agung! Apa yang kau mahu itu, hingga tak terpenuhi daku?"


Ujar sang pengemis,
"Permintaanku ini mudah saja. Kau lihat mangkuk yang kupegang ini.
Bolehkah kau isinya dengan sesuatu?"


Jawab sang maharaja, "Pasti!"


Dipanggilnya salah seorang menterinya. Dia mengkhabarkan.
"Isikan mangkuk pengemis ini dengan wang."


Menteri itu berlalu pergi dan mengambil beberapa keping wang emas
lalu dituangkan ke dalam mangkuk itu. Sesaat itu jua wang itu menghilang.


Dituangnya wang, lagi dan lagi. Setiap saat menteri itu menuangkan,
wang itu ghaib begitu saja. Dan mangkuk pengemis itu tergeletak kosong,
seperti asal.


Masa demi masa khabar aneh itu tersebar ke seluruh kota,
dan rakyat berkerumunan. Harga diri sang maharaja di ambang kehinaan.


Bicaralah ia kepada menteri-menteri.
"Jika seluruh kerajaanku lepas dari tanganku, aku sedia kehilangannya;
tapi di tangan pengemis ini aku tak rela dihinakan."


Intan berlian, mutiara murni, nilam dan delima;
semua khazanah berharganya kian menyusut.
Mangkuk sang pengemis kelihatan seakan tak berpenghujung.
Semua yang mengisinya - semuanya! - hilang serta-merta,
ghaib dari kewujudannya.


Akhirnya menjelang petang, di situ semuanya memerhati kebisuan.


Sang maharaja rebah di kaki sang pengemis, mengakui kekalahannya.


Dia bersuara lemah,


"Cuma beritahuku satu perkara. Kau pemenang - tapi sebelum kau pergi,
jawab soalanku. Mangkukmu itu, mengapa ia begitu?"


Ketawa sang pengemis dengan sinis, lalu ia berkata:


"Ia dijadikan dari hasrat. Tiada apa-apa rahsia.
Ia ringkasnya tercipta dari keinginan manusia."




***




Kefahaman sebegini mentransformasi hidup. Pergi kepada sesuatu keinginan — apa yang akan dilalui? Pertamanya di situ ada pengembaraan, keseronokan, kepuasan hebat, kau terpesona, cita rasa, cita rasa. Sesuatu terjadi, kau di puncaknya. Kemudian selepas berpenat lelah, hasratmu terpenuhi. Kau punya apa yang kau impi, seperti kereta idaman, kapal layar mewah, wanita yang digiurkan, dan — tiba-tiba, selang beberapa masa semuanya menjadi tak bermakna.




Kerana apa? Kerana hatimu telah menjadi terbiasa dengannya. Keretamu menakjubkan pertama kali, tapi akhirnya tiada apa-apa yang mempesona lagi. Kau menjadi mabuk dengan keinginan hingga kau tak sedar kekosongan jiwamu. Sekarang hasratmu terpenuhi, keretamu di jalanan, wanitamu di ranjang, wangmu di dalam simpanan — sekali lagi daya tariknya mengghaib hilang. Seperti awal kekosongan tetap di situ, sedia memakan hatimu. Dan kau terpaksa mencipta keinginan-keinginan baru, lagi — untuk lepas dari jurang kekosongan yang dalam, yang berkitar dalam hidupmu.




Begitulah bagaimana seseorang pergi dari satu keinginan ke keinginan lainnya. Dan tetap menjadi seorang 'pengemis' sepanjang hidupnya. Keseluruhan hidupmu membuktikan — segala keinginan-keinginan seperti ini mengecewakanmu. Sejurus ia tercapai, kau perlukan keinginan baru.




Saat kau menyedari keinginan-keinginan seperti itu akan menggagalkanmu — itulah titik tolak perubahan hidupmu.




Perjalanan yang sebenar ialah ke dalam hatimu. Kembalilah, kembali ke asal. Tempat jatuhnya pandangan Tuhanmu.




Terjemah & ubahsuai dari Qisas.com
firusfansuri.blogspot.com

0 comments: